KUALA LUMPUR: Semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang harus memikul tanggungjawab bersama untuk memastikan perpaduan yang wujud terus dipupuk dan dibaja, kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri berkata, langkah itu penting supaya perpaduan yang terjalin tetap terpelihara.
“Tanggungjawab ini harus dipikul bersama oleh semua rakyat tanpa mengira kaum, agama, bangsa, umur serta latar belakang pendidikan supaya perpaduan yang sudah terjalin tetap terpelihara,” katanya dalam perutusan enam perenggan yang dimuatkan dalam buku aturcara sambutan Hari Kemerdekaan Ke-52.
Najib berkata, semua pihak harus menyedari bahawa negara ini bukan milik mutlak generasi kini, sebaliknya harus dipertahankan untuk diwariskan kepada generasi akan datang.
Beliau berkata, kita mahu terus mengukir sejarah dan membangunkan negara ini secara mapan pada masa depan.
“Marilah kita sama-sama menginsafi bahawa kejayaan sesebuah negara amatlah bergantung pada sejauh mana sikap semua warganya secara bersama-sama berganding bahu untuk mempertahankan dan mengurus kemerdekaan dengan tindakan bersepadu yang menyeluruh,” katanya.
Perdana Menteri berkata, sambutan kemerdekaan kali ini berbeza daripada tahun sebelumnya kerana rakyat menyambutnya dalam Ramadan dan walaupun disambut dalam suasana kesederhanaan, tetapi martabatnya tetap sama.
Beliau berkata, kemerdekaan yang dikecapi hari ini adalah suatu anugerah yang tidak ternilai harganya kepada semua penduduk Malaysia.
“Selaras dengan tema 1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan’ bagi sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini, saya percaya kejayaan tidak mungkin dapat dicapai tanpa pembabitan semua rakyat Malaysia.
“Kita seharusnya sedar bahawa tanpa sikap penerimaan antara satu sama lain, kita tidak mungkin berada di tahap ini dan dapat menikmati pembangunan serta kemewahan seperti sekarang,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-52, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata sambutan kali ini berjaya mencerminkan aspirasi 1Malaysia yang turut membawa falsafah dan keteguhan jiwa Malaysia.
Katanya, semua tema disusun untuk disebar luaskan berjaya dilaksanakan demi 1Malaysia dan jangkauan akan lebih luas dengan sambutan Hari 1Malaysia yang akan berlangsung di Kuching, Sarawak pada 10 Oktober ini.
“Sambutan hari ini membuktikan tidak semestinya perayaan merdeka dibuat secara besar-besaran membabitkan peruntukan berjuta ringgit. Dengan penyusunan pagi ini, kita dapat membuktikan dengan belanjawan terhad, tetapi penyertaan rakyat secara menyeluruh, masih memberi impak sama,” katanya.
Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Wong Foon Meng, berkata sambutan kali ini satu penghormatan kepada Parlimen bertepatan dengan Ulang Tahun Parlimen Ke-50.
“Kerajaan mengambil kira semua kepentingan kaum dalam negara dalam membuat pertimbangan,” katanya.
Wednesday, January 27, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment