Wednesday, January 27, 2010

Maklumat 1 Malaysia

KUALA LUMPUR: Semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang harus memikul tanggungjawab bersama untuk memastikan perpaduan yang wujud terus dipupuk dan dibaja, kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri berkata, langkah itu penting supaya perpaduan yang terjalin tetap terpelihara.
“Tanggungjawab ini harus dipikul bersama oleh semua rakyat tanpa mengira kaum, agama, bangsa, umur serta latar belakang pendidikan supaya perpaduan yang sudah terjalin tetap terpelihara,” katanya dalam perutusan enam perenggan yang dimuatkan dalam buku aturcara sambutan Hari Kemerdekaan Ke-52.
Najib berkata, semua pihak harus menyedari bahawa negara ini bukan milik mutlak generasi kini, sebaliknya harus dipertahankan untuk diwariskan kepada generasi akan datang.
Beliau berkata, kita mahu terus mengukir sejarah dan membangunkan negara ini secara mapan pada masa depan.
“Marilah kita sama-sama menginsafi bahawa kejayaan sesebuah negara amatlah bergantung pada sejauh mana sikap semua warganya secara bersama-sama berganding bahu untuk mempertahankan dan mengurus kemerdekaan dengan tindakan bersepadu yang menyeluruh,” katanya.
Perdana Menteri berkata, sambutan kemerdekaan kali ini berbeza daripada tahun sebelumnya kerana rakyat menyambutnya dalam Ramadan dan walaupun disambut dalam suasana kesederhanaan, tetapi martabatnya tetap sama.
Beliau berkata, kemerdekaan yang dikecapi hari ini adalah suatu anugerah yang tidak ternilai harganya kepada semua penduduk Malaysia.
“Selaras dengan tema 1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan’ bagi sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini, saya percaya kejayaan tidak mungkin dapat dicapai tanpa pembabitan semua rakyat Malaysia.
“Kita seharusnya sedar bahawa tanpa sikap penerimaan antara satu sama lain, kita tidak mungkin berada di tahap ini dan dapat menikmati pembangunan serta kemewahan seperti sekarang,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-52, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata sambutan kali ini berjaya mencerminkan aspirasi 1Malaysia yang turut membawa falsafah dan keteguhan jiwa Malaysia.
Katanya, semua tema disusun untuk disebar luaskan berjaya dilaksanakan demi 1Malaysia dan jangkauan akan lebih luas dengan sambutan Hari 1Malaysia yang akan berlangsung di Kuching, Sarawak pada 10 Oktober ini.
“Sambutan hari ini membuktikan tidak semestinya perayaan merdeka dibuat secara besar-besaran membabitkan peruntukan berjuta ringgit. Dengan penyusunan pagi ini, kita dapat membuktikan dengan belanjawan terhad, tetapi penyertaan rakyat secara menyeluruh, masih memberi impak sama,” katanya.
Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Wong Foon Meng, berkata sambutan kali ini satu penghormatan kepada Parlimen bertepatan dengan Ulang Tahun Parlimen Ke-50.
“Kerajaan mengambil kira semua kepentingan kaum dalam negara dalam membuat pertimbangan,” katanya.

Intergriti

Beberapa bulan kebelakangan sejak saya memulakan tugas, saya telah memperkenalkan melalui blog saya satu set nilai yang saya yakini amat penting dalam membentuk diri kita untuk menjadi rakyat Malaysia yang mengagumkan bersesuaian dengan wawasan 1Malaysia. Integriti melengkapkan set lapan nilai ini dan adalah alat utama untuk memastikan prinsip didukung dan janji ditepati. Hanya setelah kita berupaya memenuhi janji dan menjadi lebih telus serta terbuka dengan orang lain, maka akan terbinalah satu asas kepercayaan yang kukuh.
Saya percaya bahawa kesemua 8 Nilai 1Malaysia – Budaya Kecemerlangan, Ketabahan, Rendah Hati, Penerimaan, Kesetiaan, Meritokrasi, Pendidikan dan Integriti – paling penting kepada usaha bersama kita untuk menambah nilai kepada Malaysia sebagai sebuah negara yang sedang membangun. Tiada mana-mana satu Nilai yang boleh dipenuhi dengan meninggalkan yang lainnya untuk membentuk 1Malaysia yang sebenar-benarnya. Sungguhpun kesemua Nilai ini telah lama dididik dalam budaya kita, penerapan Nilai-nilai ini mesti diperbaharui. Saya menyeru semua rakyat Malaysia agar menanam dan memupuk semua Nilai-nilai ini dalam amalan dan tindakan harian kita bukan sahaja di kalangan rakan dan taulan serta keluarga, malah juga di tempat kerja dan masyarakat keseluruhannya.
INTEGRITI
Adalah penting bagi sesebuah kerajaan untuk mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat. Pada saya satu cara terbaik untuk mendapatkan kepercayaan dan keyakinan ini adalah dengan berlaku jujur kepada rakyat. Bercakap benar kepada mereka. Jika anda telah melakukan dengan baik, maklumkan polisi yang dilaksanakan adalah betul. Jika polisi tersebut tidak menjadi, maka anda sewajarnya berani untuk menjelaskan kepada mereka, begini…kita telah melakukan kesilapan tetapi kita merancang untuk melakukan lebih baik lagi, kita mahu memperbetulkan kesilapan ini. Saya rasa rakyat akan menghargai tindakan tersebut. Walaupun anda berada di dalam kerajaan, anda hanyalah manusia dan manusia melakukan kesilapan. Kuncinya ialah bukannya anda akan melakukan kesilapan, tetapi bagaimana anda bangkit daripada kesilapan tersebut. Adalah diharapkan kesilapan hanya sedikit sahaja, tetapi sebahagian besar daripada keputusan adalah betul dan bertepatan. Namun akan terdapatnya ketika disebabkan oleh perubahan keadaan, anda tiba-tiba menyedari bahawa polisi atau keputusan anda adalah tidak tepat. Tetapi sebaik anda menyedari bahawa anda kurang tepat, maka berlaku jujurlah dan maklumkan kepada rakyat.
Anda mesti bercakap benar dan percaya kepada rakyat. Percaya bahawa rakyat adalah bijak, akan menghargai kejujuran, kebenaran dan bertemu dan berkomunikasilah dengan rakyat. Selepas satu jangka masa, sudah tentu anda akan berupaya membina kepercayaan dan keyakinan tersebut dengan rakyat. Paling penting, tepati janji anda. Jika anda berjanji, tunaikan. Satu daripada perkara yang boleh mengikis kepercayaan dan kesetiaan ini ialah jika anda memungkiri janji. Jika anda berjanjikan sesuatu, anda mesti berpegang pada janji dan menunaikannya.

Pendidikan

Visi saya tentang 1Malaysia termasuk juga tentang negara yang rakyatnya telah mengayakan kehidupan mereka melalui usaha mendapatkan dan menggunakan pengetahuan secara positif. Proses pendidikan seumur hidup yang dilakukan di dalam dan luar bilik darjah akan membentuk rakyat Malaysia yang berupaya berfikir dan bertindak tanpa terlalu mementingkan diri sendiri, malah lebih mementingkan masyarakat setempat mereka.
PENDIDIKAN
Pendidikan dan pengetahuan adalah prasyarat penting untuk mana-mana negara mencapai kejayaan dan disepanjang sejarah kita telah melihat hanya empayar yang berteraskan akal yang terus wujud, khususnya dalam konteks semasa. Sebuah empayar yang terbina daripada kekuatan tentera tidak bertahan dan tidak mampu bertahan. Maka apabila anda bercakap tentang pendidikan dan pengetahuan, ia mesti dilihat dalam konteks holistik. Ia juga mesti disepadukan dengan nilai. Anda mesti memiliki masyarakat yang menempatkan pendidikan dan pengetahuan di mercu segala yang lain. Bukan saja kerajaan, tetapi juga masyarakat sebagai satu nilai. Sebagai contoh, budaya membaca. Jika anda hanya berharap kepada buku teks formal, anda tidak akan menimba ilmu sebagaimana sepatutnya. Tetapi jika diri anda berbudaya membaca, tabiat membaca ini sama ada melalui buku atau pun internet, maka anda akan berupaya membuka minda masyarakat Malaysia. Dan saya ingin melihat minda rakyat Malaysia berterusan terbuka.
Kita dikekang oleh kenyataan bahawa kita mempunyai aliran (pendidikan) yang berbeza di dalm negara. Kita tidak mempunyai aliran tunggal dan dengan demikian, kita tidak mempunyai aliran kebangsaan. Sedangkan aliran kebangsaan sendiri telah ditakrifkan semula untruk memasukkan sekolah vernakular. Ia menjadi kedua-duanya kekuatan dan masaalah dan cabaran kepada kita kerana kita tidak berpeluang untuk membolehkan rakyat Malaysia membesar bersama melalui satu saluran pendidikan dari segi fizikalnya, sebaliknya mereka akan diasingkan. 95 peratus daripada bangsa China akan memasuki sekolah China dan 97 peratus daripada bangsa Melayu akan memasuki sekolah kebangsaan. Maka kita akan kehilangan peluang. Namun apa yang boleh kita lakukan ialah memastikan terdapatnya peluang untuk kita berinteraksi dengan melihat kepada kurikulum dan menekankan kepada nilai bersama, agar walau pun kita terpisah secara fizikalnya, tetapi jika dipenuhi dengan nilai sistem yang serupa, pada satu peringkat masa diharap kita akan bertemu pada satu titik persamaan. Apabila kita bertemu dalam erti kata fizikalnya, kita akan berupaya untuk menghargai satu sama lain dengan lebih baik lagi.

Meritokrasi

Pada dasarnya semua orang tahu makna perkataan ini dan prinsip meritrokrasi, tetapi ia tidak boleh dilaksanakan dalam erti kata yang sebenar kerana ada masanya anda perlu mempertimbangkan faktor-faktor tertentu yang lain. Contohnya, mereka yang kekurangan, atau masyarakat yang tinggal di kawasan pedalaman, estet-estet dan perkampungan baru yang berada di luar arus perdana masyarakat yang lebih dinamik. Sudah tentunya mereka ini memerlukan pertimbangan khas.
Namun pada dasarnya, meritrokrasi bukan saja satu prinsip yang mulia, tetapi satu prinsip yang diperlukan untuk memacu Malaysia ke arah kejayaan yang lebih hebat. Sejak awal lagi saya telah membincangkan tentang budaya kecemerlangan dan satu daripada prinsip budaya kecemerlangan adalah prinsip meritrokrasi. Jika anda memberikan penghargaan berasaskan kerana mereka adalah terbaik, sama ada orang yang terbaik untuk tugasan tersebut atau syarikat terbaik untuk mendapatkan kontrak, maka semua pihak akan menyedari bahawa mereka perlu berada di tahap tersebut.
Mereka perlu memberikan yang terbaik. Pada saya setelah menyedari bahawa mereka perlu memberikan yang terbaik, maka semua itu akan menyerlahkan yang terbaik daripada semua orang. Maka itu kita tidak mahu Malaysia tidak memberikan sebaik mungkin sebagai sebuah negara. Melihat kepada Malaysia, menggunakan terma sukan tinju, saya mahu melepaskan tumbukan melebihi had kategori berat badannya. Jika anda menggunakan budaya kecemerlangan dan prinsip meritrokrasi ini, pada saya ia akan menjadi adunan yang diperlukan untuk kita memaksimakan potensi Malaysia.
Tentang langkah kerajaan ke arah meningkatkan meritrokrasi
Ia memang bermakna bahawa kepelbagaian aspek perkhidmatan kerajaan dan masyarakat secara keseluruhannya sewajarnya dibentuk berdasarkan meritrokrasi. Sebagai contoh, pemerolehan kerajaan. Sewajarnya kita memperkenalkan satu polisi yang memastikan persaingan pembidaan kerana melalui persaingan pembidaan, peluang kita memilih syarikat terbaik untuk tugasan tersebut pada harga terendah dan pada masa yang sama mempunyai kemahiran yang diperakui adalah lebih besar berbanding pemilihan berasaskan tender perundingan, contohnya.
Prinsip penswastaan sekali pun, sebahagian daripada permasalahan yang dihadapi tentang asas pengswastaan di masa lalu, ketika kita terlalu kurangnya pengetahuan tentang bagaimana untuk melaksanakan pengswastaan, pada permulaannya kita telah menggunakan prinsip siapa dulu dia dapat. Makanya jika anda mempunyai gagasan anda akan diberi peluang tersebut.
Tetapi kenyataannya, memandang kebelakang adalah lebih baik untuk kita mengenal pasti perkhidmatan atau lapangan tertentu yang kita hendak swastakan dan membukanya untuk pembidaan. Seterusnya cadangan terbaik boleh dipertimbangkan oleh kerajaan. Jelaslah terdapat contoh-contoh khusus tentang bagaimana meritrokrasi boleh digunakan.

Pengenalan 1 Malaysia

1. PENGENALAN
Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama perlu menganggap diri mereka sebagai bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak ke arah mencapai satu matlamat. Sejajar dengan ini, perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur.
Konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri, adalah langkah yang bertepatan dengan suasana dan cita rasa rakyat. Konsep ini selari dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip-Prinsip Rukun Negara 1 Malaysia membawa aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Perkara asas yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum. ‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagai mana slogan YAB Perdana Menteri iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’.
‘1 Malaysia’ memerlukan kepimpinan dan rakyat yang berintegriti tinggi. Sifat jujur, berkebolehan, bercakap benar, telus, ikhlas dan amanah amat penting untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negara.
1 Malaysia memerlukan pemimpin yang bijak mentafsir dan memahami tugasan yang diberi. Pemimpin cemerlang dan komited sewajarnya memiliki kebolehan yang tinggi dalam merancang, mengatur strategi, menilai prestasi dan menepati masa dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
Kesungguhan dan komitmen terhadap tugas dan tanggungjawab menjadi asas atau senjata paling ampuh dalam mencapai sesuatu kejayaan. Negara memerlukan rakyat yang berdedikasi dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh iltizam, azam dan tekad demi kepentingan dan kemajuan negara.
Malaysia juga memerlukan pemimpin yang mesra rakyat dan sanggup berkorban masa, tenaga dan kewangan serta mengetepikan kepentingan peribadi demi negara Malaysia. Pemimpin yang bekerja dengan penuh dedikasi dan hati yang ikhlas akan mendapat sokongan dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat.
Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. Negara ini adalah negara untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum, agama, budaya serta fahaman politik. Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan.
1 Malaysia adalah pemangkin kepada pengwujudan negara bangsa yang dapat membina Malaysia sebagai negara yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan di kalangan rakyat. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan.
Pemimpin dan rakyat perlu memahami dan menghayati lapan nilai 1Malaysia, iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integiti.
2. DEFINISI
Konsep 1 Malaysia menurut penjelasan YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak:“Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita;
Ini bukan bererti kita mengetepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum Bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan Bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan.
Kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama”.
2.1 HuraianBerdasarkan penjelasan di atas, dapat dirumuskan kesimpulan berikut :
2.1.1 Konsep 1 Malaysia menuntut setiap warganegara dan pemimpin memainkan peranan masing.
Ayat yang menyebut “Kita berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People” menuntut rakyat daripada pelbagai kaum dan agama berfikir melepasi sempadan kaum masing-masing. Mereka juga di tuntut melahirkan tindakan yang melepasi tembok kepentingan etnik dan kaum.
Justeru, bangsa Melayu sebagai contoh, diminta tidak hanya berfikir dalam skop bangsa mereka sahaja. Mereka juga diminta tidak hanya membataskan tindakan mereka kepada perkara-perkara yang menjadi kepentingan mereka sahaja. Demikianlah juga dengan kaum-kaum yang lain, mereka dituntut melakukan perkara yang sama.
Sementara ayat “dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita” lebih menjurus dan bersangkutan dengan kepimpinan negara. Perenggan ini bermakna kepimpinan negara akan melayani dan memenuhi segala keperluan dan hak semua kaum dan etnik di Malaysia.
2.1.2 Nilai tambah dan pembaharuan dalam Konsep 1 Malaysia
“Mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita” telah dilaksanakan kerajaan semenjak kemerdekaan negara lagi. Perkara ini berjalan dalam bentuknya yang tersendiri iaitu pihak kepimpinan negara melayani kehendak dan keperluan setiap etnik melalui wakil kaum masing-masing.
Melalui konsep 1 Malaysia, YAB Perdana Menteri mahukan setiap wakil rakyat bertindak melepasi sempadan kaum masing-masing dan melebarkan khidmat mereka kepada kaum-kaum lain.
3. PERBEZAAN ANTARA KONSEP 1 MALAYSIA DENGAN KONSEP MALAYSIAN MALAYSIA
Berpandukan definisi konsep 1 Malaysia yang dinyatakan di atas, konsep 1 Malaysia memiliki kelainan seperti berikut:
3.1. “Konsep Malaysian Malaysia adalah satu dasar yang mahu menggagalkan terus asas binaan kemasyarakatan yang wujud buat sekian lama. Keadilannya diambil secara membuta tuli dengan mengambil konsep kesamarataan versi total. Tetapi konsep 1 Malaysia lebih kepada untuk mengharmonikan rakyat dalam ruang lingkup yang berbeza”.
3.2. Di samping menjaga kepentingan semua kaum, konsep 1 Malaysia juga menekankan soal integrasi dan pengwujudan bangsa Malaysia. Berbeza dengan Malaysian Malaysia yang hanya terbatas kepada kesamarataan hak tanpa mengambil kira realiti dan sejarah negara Malaysia.
4. KEDUDUKAN KONSEP 1 MALAYSIA
Konsep 1 Malaysia bukanlah satu wawasan atau gagasan pemikiran baru. Sebaliknya Konsep 1 Malaysia ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ lebih merupakan satu konsep dalam bidang pentadbiran yang menyarankan pemimpin-pemimpin Kerajaan menjalankan tugas dengan lebih cekap, amanah dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat.
5. HUBUNGAN KONSEP 1 MALAYSIA DENGAN DASAR-DASAR KERAJAAN TERDAHULU
Perkaitan antara konsep 1 Malaysia dan dasar-dasar megara terdahulu dinyatakan sendiri oleh YAB Perdana Menteri. Beliau menegaskan “konsep 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan, adalah kesinambungan daripada dua konsep yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri terdahulu.
Konsep ini bukanlah suatu perkara baru. Sebaliknya “1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, merupakan satu usaha yang telah lama diamalkan. Usaha-usaha memelihara dan menjaga kepentingan rakyat serta negara sudah dilaksanakan sejak zaman Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Usaha-usaha membangunkan rakyat dan negara telah disambung oleh Perdana-Perdana Menteri seterusnya. Setiap Perdana Menteri mempunyai gagasan tersendiri, namun matlamatnya tetap sama iaitu untuk rakyat dan negara.
6. MATLAMAT
‘1 Malaysia’ bermatlamat untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan dalam kepelbagaian yang selama ini menjadi kekuatan Malaysia serta rakyatnya dan kelebihan ini akan dipelihara sebagai bekalan terbaik kita untuk menghadapi sebarang cabaran.
‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat seperti yang terpamer melalui slogan YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’.
7. NILAI-NILAI 1 MALAYSIA
Terdapat lapan nilai yang diterapkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam konsep ‘1 Malaysia’. Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Lapan nilai-nilai tersebut adalah:
1. Budaya kecemerlangan2. Ketabahan3. Rendah hati4. Penerimaan5. Kesetiaan6. Meritokrasi7. Pendidikan8. Integriti
7.1. BUDAYA KECEMERLANGAN
Pengamalan budaya cemerlang akan membawa Malaysia ke tahap kejayaan serta pencapaian yang lebih tinggi. Kejayaan dan pencapaian masyarakat dan negara bergantung setakat mana budaya kecemerlangan diamalkan oleh rakyatnya.
7.1.1 Budaya cemerlang perlu dilaksanakan secara berterusan dengan mementingkan prestasi sebagai pengukuran tahap pencapaian atau kemajuan.
7.1.2 Prinsip ketepatan menjadi elemen dalam menentukan kecemerlangan. Ketepatan menguruskan masa amat penting dalam menentukan kemajuan dan penerimaan orang lain terutama apabila berurusan dengan pihak-pihak luar negara.
7.1.3 Ketepatan pengukuran, jadual penyampaian dan kualiti amat berhubung rapat bagi menentukan kecemerlangan dan kejayaan.
7.1.4. Negara luar akan mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang mementingkan kualiti dan ketepatan dalam segala bidang terutama dalam sistem perdagangan dunia yang berteraskan eksport.
7.2. KETABAHAN
Setiap perjuangan atau pelaksanaan kerja memerlukan ketabahan dan ketekunan mereka. Perjuangan untuk mencapai kemajuan dan kecemerlangan negara amat memerlukan pemimpin dan rakyatnya tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan.
7.2.1 Rakyat Malaysia perlu tabah menghadapi dugaan dan cabaran untuk kejayaan diri dan Negara.
7.2.2 Penggemblengan semangat bekerja keras, dedikasi serta tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan adalah ramuan yang terbaik mencapai sesuatu matlamat.
7.2.3. Ketabahan dalam menghadapi perubahan peribadi wajar dijadikan wadah bagi memperbetulkan kesilapan atau kegagalan perkara-perkara yang terdahulu.
7.2.4. Kejatuhan atau kemerosotan yang dialami perlu dikaji kelemahan-kelemahan yang ada dan perlu memperbaikinya secara positif.
7.2.5 Sikap mudah mengalah, kecewa dan menyerahkan kepada takdir perlu dikikis jika ingin maju dan berjaya
7.2.6 Dalam menangani kegagalan, pendekatan yang berbeza dan kreatif perlu diambil bagi menghasilkan perubahan yang lebih besar dan menakjubkan
7.5.7 Semangat juang yang tinggi dan berpendirian teguh perlu ada bagi mencapai kejayaan diri, masyarakat dan negara.
7.3 RENDAH HATI
Rasa rendah hati adalah satu sifat yang penting untuk dimiliki. Dalam Islam, rendah hati dikatakan Tawaduk’. Sifat merendah diri amat digalakkan dalam ajaran Islam begitu juga dengan budaya dan sifat masyarakat Melayu yang menghormati orang yang merendah diri.
7.3.1 Merendah diri yang dimaksudkan tidak bererti kita tunduk atau mengalah dengan orang lain.
7.3.2 Segala kemampuan dan kebolehan yang dimiliki tidak perlu ditunjuk dan dibanggakan dengan cara yang tidak digemari masyarakat Malaysia.
7.3.3 Masyarakat Malaysia amat menghormati serta menyukai sifat merendah diri tetapi mempunyai kekuatan dalaman dan pendirian yang teguh terhadap sesuatu prinsip.
7.3.4 Sikap merendah diri ini perlu bersesuaian dengan masa, keadaan dan tempat di mana kita berada.
7.3.5 Apabila berada di luar negara serta berurusan dengan masyarakat luar, sikap merendah diri perlu dielakkan untuk mencerminkan kekuatan, keyakinan dan kemampuan kita sebagai rakyat Malaysia, tetapi bukan dengan cara kekasaran dan penindasan.
7.4. PENERIMAAN
Konsep penerimaan dan toleransi adalah dua perkara yang berbeza sama ada daripada ungkapan mahupun pelaksanaan. Penerimaan akan memperlihatkan perlakuan yang positif menerima sepenuhnya sesuatu perkara dengan hati yang ikhlas tanpa ada unsur-unsur terpaksa. Manakala toleransi pula berlaku kerana tiada pilihan lain atau secara terpaksa. Perlakuan atau sikap toleransi berlaku apabila sesuatu pihak tiada pilihan lain dan ianya diterima dengan ketidakjujuran.
7.4.1 Malaysia memerlukan rakyat yang dapat menerima apa jua perkara baik dan mendapat persetujuan secara bersama.
7.4.2 Penerimaan semua kaum untuk mendapatkan yang terbaik amat diperlukan bagi membina sebuah negara bangsa. Perkara-perkara yang terbaik daripada kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain perlu diterima pakai serta mendapat penerimaan daripada masyarakat negara ini.
7.4.3 Semua program dan peruntukan kewangan daripada kerajaan wajar diagihkan secara adil, menyeluruh dan saksama mengikut keperluan tanpa sekatan, lapisan masyarakat, kaum, etnik, agama dan fahaman politik.
7.4.4 Semua peluang seperti pendidikan, biasiswa, subsidi, bantuan kewangan dan agihan projek perlu adil mencerminkan keperluan ‘1 Malaysia’.7.4.5. Pembangunan diri tanpa mengambil mengira jantina dan latar belakang etnik sebaliknya ditentukan oleh keupayaan peribadi dan bakat seseorang.
7.5 KESETIAAN
Prinsip kesetiaan amat diperlukan dalam apa jua keadaan. Kesetiaan kepada Raja dan Negara adalah prinsip kedua Rukun Negara wajib dipegang erat oleh setiap rakyat negara ini tanpa berbelah bahagi. Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri.
7.5.1 Kesetiaan kepada pemimpin atau ketua di dalam sesuatu organisasi adalah teras kepada kewibawaan, keteguhan, kejayaan, kecemerlangan dan.
7.5.2 Pengikut perlu menunjukkan kesetiaan dan ketaatan kepada ketua kerana organisasi yang berpecah dan tidak setia kepada arahan ketua akan mengalami kehancuran.
7.5.3 Kesetiaan akan membina kepercayaan serta menjalin satu ikatan peribadi antara dua pihak.
7.5.4 Perhubungan dan ikatan yang kukuh melalui kesetiaan perlu dilakukan dengan jujur dan ikhlas terhadap perhubungan sama ada dengan kawan, keluarga atau pemimpin.
7.5.5 Kritikan dan pandangan yang membina perlu diterima dalam perhubungan bagi menterjemahkan kepada kejayaan. Mengkritik secara betul terhadap kesilapan atau kekurangan adalah lambang setia kawan.
7.5.6 Kritikan dalam usaha membina kekuatan perlu dilakukan dengan bijaksana dan dengan niat yang baik agar segala kelemahan dan kesilapan dapat dibaiki untuk kebaikan bersama.
7.5.7 Pemimpin atau ketua sesuatu organisasi perlu menghindari sikap sombong, tidak mahu ditegur atau dikritik.
7.5.8 Kesetiaan perlu disertai dengan keupayaan melaksanakan tugas dengan cemerlang.
7.5.9 Nilai atau ganjaran kepada kesetiaan perlu berasaskan kepada keupayaan, pencapaian dan kemajuan yang dilaksanakan dalam setiap perhubungan.
7.5.10.Kesetiaan atau perhubungan yang membuta tuli tanpa sebarang kemajuan adalah tidak bernilai. Perhubungan yang berasaskan kepada cara mengampu perlu dihindari agar tidak disalah gunakan oleh pihak yang sering mengambil kesempatan.
7.6 MERITOKRASI
Meritokrasi merupakan satu hala tuju yang perlu diamalkan dalam negara demokrasi bagi memastikan mereka yang layak dan memenuhi kriteria diberi peluang untuk memacu pembangunan negara.
7.6.1 Dalam keadaan tertentu terdapat pihak yang kurang bernasib baik atau ketinggalan seperti masyarakat yang tinggal di kawasan pendalaman, estet-estet dan perkampungan baru adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk membantu golongan tersebut..
7.6.2 Meritokrasi menekankan persaingan secara terbuka berasaskan kriteria-kriteria yang ditetapkan dan sesiapa yang berjaya memenuhi kriteria-kriteria tersebut berhak dipilih.
7.6.3 Dalam melaksanakan prinsip meritokrasi, pemilihan berasaskan prestasi dan budaya cemerlang akan memaksimumkan potensi Malaysia dalam semua bidang.
7.6.4 Dalam aspek pemerolehan kerajaan, pemilihan syarikat untuk ditawarkan kontrak dibuat melalui tender terbuka dan syarikat yang berjaya hendaklah memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan.
7.6.5 Dalam pemilihan syarikat, kontraktor, pemberi khidmat, perunding dan sebagainya wajar dilaksanakan melalui persaingan yang menitikberatkan kepada setiap pihak yang bersaing membuktikan potensi yang kecemerlangan masing-masing dan serta memberi tawaran terbaik merangkumi harga, produk, perkhidmatan dan hasil yang dijanjikan.
7.6.6 Prinsip meritokrasi membudayakan masyarakat Malaysia dalam menghadapi cabaran globalisasi/liberalisasi.

7.7 PENDIDIKAN
Pendidikan dan pengetahuan adalah prasyarat penting untuk mana-mana negara mencapai kejayaan. Kekuatan dan ketahanan adalah berasaskan kepada masyarakat yang berpendidikan dan berpengetahuan mengatasi kekuatan ketenteraan.
7.7.1 Negara perlu memiliki masyarakat yang mengutamakan pendidikan dan pengetahuan dari segala-galanya.
7.7.2 Budaya membaca berupaya melahirkan rakyat Malaysia yang mempunyai minda yang sentiasa terbuka.
7.7.3 Sekolah aliran kebangsaan telah ditakrifkan semula untuk memasukkan sekolah vernakular.
7.7.4 Semua aliran, sama ada sekolah kebangsaan , sekolah Cina dan sekolah India hendaklah sentiasa mencari peluang berinteraksi dengan mengadakan aktiviti bersama.
7.7.5 Kurikulum yang dibangunkan untuk ketiga-tiga aliran hendaklah menekankan nilai-nilai bersama yang perlu dipupuk untuk membentuk satu Malaysia.
7.8 INTEGRITI
Adalah penting bagi sesebuah kerajaan untuk mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat. Kepercayaan dan keyakinan diperoleh melalui nilai-nilai integriti. Nilai ini perlu diamalkan oleh semua pihak daripada pemimpin sehingga semua peringkat tanpa mengira kedudukan.
7.8.1 Bersikap jujur terhadap sesuatu tindakan dan percakapan.
7.8.2 Bercakap benar walaupun perkara yang disampaikan itu pahit dan sukar diterima.
7.8.3 Berusaha memperbaiki kesilapan. Setiap perkara atau tindakan yang gagal atau salah perlu diperbaiki bagi mendapatkan hasil yang sempurna.
7.8.4 Menepati janji dan masa adalah sifat mulai yang dituntut dalam agama Islam. Memungkiri janji boleh mengikis kepercayaan dan kesetiaan.
7.8.5 Menerima kritikan dan teguran dengan hati yang terbuka walaupun perkara ini sukar diterima oleh sesetengah pihak. Segala kritikan dan teguran perlu dijadikan iktibar dan panduan untuk membetulkan kesilapan dan kesalahan yang dilakukan
7.8.6 Kelayakan dan kemampuan perlu diberi keutamaan tanpa sebarang kepentingan atau melalui saluran tidak sah.
7.8.7 Mengetepikan kepentingan peribadi dalam segala tindakan dan perlakuan. Kepentingan negara perlu diletakkan mengatasi segala kepentingan lain. Sifat ingin mengutamakan diri, keluarga dan kelompok tertentu perlu dijauhi.
8. KESIMPULAN
Konsep Satu Malaysia akan membawa aspirasi untuk memperkukuhkan hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat sebagaimana kehendak prinsip Rukun Negara. Perkara yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati dan sikap saling mempercayai antara kaum. Rakyat perlu memahami dan mengamalkan bahawa segala tindakan perlulah mengutamakan kepentingan negara.
Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan.
Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Melalui konsep ‘1 Malaysia’ ini tidak akan wujud perasaan tidak berpuas hati kepada mana-mana kaum kerana semua rakyat adalah Bangsa Malaysia dan Rakyat Malaysia yang mempunyai satu hala tuju dan cita rasa untuk bersama memajukan negara.
Pembinaan negara bangsa bagi sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia adalah amat penting terutama dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara bebas dan pantas bukan sahaja maklumat, modal serta manusia tetapi juga sistem nilai, budaya dan kepercayaan dari pelbagai negara. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan.
Sesungguhnya semua rakyat Malaysia perlu mendasari prinsip-prinsip utama 1 Malaysia iaitu kebersamaan (togetherness) dan kekitaan (sense of belonging) bagi menjayakan konsep ini.

Sunday, January 24, 2010

Kesetiaan

Saya percaya bahawa kesetiaan merupakan satu nilai penting yang sering disalahtafsir dan disalahguna. Untuk mengetahui pandangan saya tentang kesetiaan sebagai salah satu daripada 8 nilai utama 1 Malaysia, baca terjemahan transkrip di bawah.
KESETIAAN
Pada saya kesetiaan adalah penting kerana ia adalah asas kepada kepercayaan. Dalam sebarang perhubungan, kesetiaan adalah penting. Contohnya sebagai kawan, anda setia kepada kawan anda, kerana kesetiaan tersebut akan membina kepercayaan. Satu ikatan peribadi antara anda dengan seorang yang lain. Tetapi saya juga mentafsir kesetiaan sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya keterlaluan sehingga menjadi kesetiaan membuta tuli. Pada saya di dalam perkhidmatan kerajaan, sebagai contoh, pentadbiran kerajaan, semestinya seseorang itu perlu setia kepada pemimpin.
Tetapi seseorang itu hendaklah setia selagi pemimpin itu juga setia, dalam erti kata perlakuan pemimpin tersebut, komitednya pemimpin kepada tugasnya dan berdedikasi. Kesetiaan juga tidak bermakna anda tidak boleh mengkritik, tetapi sudah tentu anda hendaklah mengkritik dengan cara yang betul, di tempat dan masa yang bertepatan. Saya sudah tentu akan menghargainya, sama ada ianya perhubungan peribadi atau dalam konteks rakan sejawat bahawa akan adanya peluang dan waktu untuk mereka memberikan pandangan yang membina contohnya, malah kritikan yang pada saya adalah diperlukan. Tetapi kesetiaan juga hendaklah disertai dengan keupayaan.
Anda tidak boleh memberikan ganjaran kepada seseorang itu hanya kerana dia setia, tetapi melupakan kenyataan bahawa kesetiaan tanpa kemajuan dan keupayaan adalah tidak mencukupi. Benar, kesetiaan adalah penting, tetapi ia perlu disertai dengan pertimbangan lain juga.
Ya, pada saya telah berlalunya hari-hari bila mana kesetiaan disalah anggap sebagai kepercayaan membuta tuli atau memiliki kuasa penuh dari segi perhubungan peribadi, yang mana anda boleh melakukan apa saja yang anda mahu dan tidak dipertanggungjawabkan. Pada saya itu adalah salah. Pada saya ia adalah merugikan dari segi perhubungan peribadi atau sama ada di dalam kerajaan bahawa tiadanya ruang untuk kritikan membina mahu pun pertentangan pendapat. Tetapi ia hendaklah dilakukan dengan cara yang betul dan dengan niat yang baik

Penerimaan

PENERIMAAN
Tentang kepentingan penerimaan berbanding toleransi
Saya rasa terdapat perbezaan yang agak ketara di antara keduanya (toleransi dan penerimaan). Apabila anda menyebut toleransi, anda tidak berapa sukakannya, tetapi tetap menerimanya kerana anda tiada pilihan. Tetapi jika anda bercakap dari segi penerimaan, ia memperlihatkan keadaan pemikiran bahawa anda menerima sepenuhnya sesuatu itu secara positif. Pada saya adalah penting bagi kita untuk beralih dari konsep toleransi semata-mata ini kepada penerimaan. Penerimaan dari segi anda bersedia untuk menerima sebarang perkara. Jika anda sanggup menerima sebarang perkara, anda mengambil perkara tersebut dengan kerelaan, maka saya rasa kapasiti anda untuk melihat kepada semua perkara secara lebih positif adalah lebih baik berbanding toleransi semata-mata.
Pada saya itu adalah penting kerana selepas itu anda tidak lagi merasa terbeban dan anda tidak dipengaruhi oleh sebarang tanggapan melulu yang negatif dan mahu pula melihat kepada kemampuan terbaik yang boleh diberikan oleh seseorang itu. Inilah yang kita perlukan untuk Malaysia. Kita perlu mendapatkan yang terbaik daripada bangsa Melayu, terbaik daripada bangsa Cina, bangsa India, semua kaum lain dan mengadun semua ini agar secara terkumpulnya kita akan menjadi jauh lebih besar berbanding bilangan kelompok kaum secara individu.
Tentang peranan kerajaan dalam memupuk penerimaan
Saya rasa kita perlu memulakan polisi yang kelihatan adil dan dilaksanakan dengan cara yang mencerminkan komitmen kita. Sebagai contoh, apabila kita bercakap tentang membantu mereka yang miskin, kita mesti membantu mereka yang miskin dalam semua golongan masyarakat. Dan pada saya golongan miskin dalam semua golongan masyarakat wajar dibantu. Maka semua program dan peruntukan kewangan kita wajib mencerminkan keperluan untuk mengatasi masalah golongan miskin merentasi semua lapisan etnik dan kaum.Itu adalah sebagai satu contoh polisi di peringkat tersebut. Terdapat juga pertimbangan lain, contohnya membangunkan bakat di Malaysia. Pada saya setiap rakyat Malaysia sepatutnya berupaya untuk memenuhi sepenuhnya dari segi pembangunan diri mereka tanpa mengira jantina. Sistem sedia ada kita, sistem pendidikan, biasiswa, bantuan kewangan, semua peluang tersebut hendaklah mencerminkan semua ini, bahawa tidak terdapat sebarang had. Had tidak ditentukan kerana latar belakang etnik anda. Had ditentukan adalah kerana keupayaan peribadi anda sendiri.

Rendah Hati

RENDAH HATI
Rasa rendah hati adalah satu sifat yang penting untuk dimiliki. Dalam konteks – contohnya katakanlah jika anda seorang ahli politik. Begitu juga jika anda seorang ahli parlimen. Bersikap rendah diri pada dasarnya adalah satu aset kerana di dalam masyarakat kita, terutamanya masyarakat tradisional, mereka cenderung menghargai orang yang memperlihatkan sifat merendah diri. Dalam Islam, ia adalah konsep Tawaddu`, yakni rendah hati. Sebagaimana yang anda ketahui di dalam masyarakat Melayu, seseorang itu tidak boleh menunjuk-nunjuk. Contohnya, apabila anda keluar melakukan tugas sebagai seorang ahli parlimen, anda mestilah boleh menyesuaikan diri dengan masyarakat. Saya sangat menyedari akan keadaan bahawa apabila saya melakukan tugas saya sebagai ahli parlimen, saya sangat selesa dengan keadaan tersebut. Sebagai contoh, jika saya berada di dalam surau atau pergi ke rumah penduduk miskin di dalam kawasan saya, saya memastikan tingkah laku saya tidak akan membuatkan mereka berasa tidak selesa, dan pemergian saya ke sana bukanlah bertujuan memandang rendah atau bersikap menghina mereka.
Maka itu pada saya ia adalah satu aset. Namun begitu, bersikap rendah diri bukanlah sebagai satu petanda kelemahan. Dalam masyarakat tertentu, ia cenderung disalah ertikan sebagai satu petanda kelemahan. Apabila berurusan dengan orang luar contohnya, adakalanya anda perlu menunjukkan kekuatan anda. Anda perlu memperlihatkan keyakinan kerana apabila anda dilihat sebagai rendah diri pada sudut pandangan mereka, ia dianggap sebagai satu petanda kelemahan. Maka itu saya merasakan ia juga adalah mengikut keadaan, anda mesti sedar bahawa dalam lingkungan masyarakat Malaysia, ia adalah satu aset, tetapi ada waktunya apabila anda berurusan dengan dunia luar anda perlu memperlihatkan kekuatan dan kejayaan anda, tetapi bukanlah dengan cara penindasan.